Tuesday, 17 June 2014

Tragedi elak serpihan bonggol.


Alor Gajah: “Menggigil badan apabila melihat penunggang motosikal itu terjatuh dan terseret di atas jalan menuju ke arah saya.

“Nasib baik saya sempat mengelak ke kanan dan hanya terlanggar motosikal ditunggangnya,” kata Kamisah Mohd Shah, 35, selepas Perodua Viva dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang Mohd Shahril Husin, 23, di Jalan Garing-Durian Tunggal, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 6.20 pagi, Mohd Shahril yang menunggang motosikal jenis Scrambler dari arah Durian Tunggal menghala Machap dipercayai cuba mengelak serpihan bonggol di atas jalan sebelum motosikalnya hilang kawalan.




Menurut Kamisah, dia yang memandu bersendirian terkejut selepas melihat sebuah motosikal dari arah bertentangan terbabas hingga menyebabkan penunggangnya tercampak.


“Saya terkejut apabila melihat penunggang terbabit seolah-olah terbang ke arah saya selepas motosikal ditunggang terjatuh dipercayai cuba mengelak serpihan bonggol simen di atas jalan di lokasi kejadian.


“Ketika itu saya terpaku, namun kemudian nekad memaut stereng ke kanan dan menekan brek sekuat hati untuk mengelak daripada merempuh mangsa yang terbaring di laluan saya.



“Nasib baik saya dapat mengelak mangsa, namun terlanggar motosikal ditunggangnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Kamisah berkata, kereta dipandunya turut terbabas dan terhenti berhampiran tebing sungai di tepi jalan berkenaan.



Katanya, dia terus menghubungi bantuan kecemasan dan memberanikan diri turun dari kereta selepas melihat beberapa kenderaan lain berhenti di tempat kejadian.


Petugas paramedik yang tiba kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di badan dan kepala selain pendarahan pada telinga kiri.


Difahamkan, Mohd Shahril yang berasal dari Kampung Krubong, di sini, bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Durian Tunggal.


Sementara itu, sumber berkata, Mohd Shahril dalam perjalanan ke tempat kerjanya tidak jauh dari lokasi kejadian dan difahamkan, dia cuba mengelak serpihan bonggol simen di atas jalan.


“Akibat kejadian itu, mangsa gagal mengimbangi motosikal lalu terjatuh dan tercampak ke laluan bertentangan. Mohd Shahril yang parah di anggota badan mati di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment