Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian terbabit berlaku di satu selekoh selepas simpang menuju ke Kampung Budu.
“Kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam kelmarin di mana dua dari mangsa yang berusia 15 dan 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 18 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHas) Temerloh,” katanya.
Menurutnya, ketika polis tiba di tempat kejadian dua penunggang yang meninggal dunia masih belum dialihkan, manakala seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Raub.
“Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Raub mengalami kecederaan di dalam perut dan kemudiannya dikejarkan ke HosHas. Namun sekitar 7 pagi, mangsa terbabit disahkan meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, tiada saksi yang melihat kejadian berlaku namun berdasarkan kedudukan motosikal terlibat di tempat kejadian, dipercayai ketiga-tiga motosikal terbabit bertembung antara satu sama lain apabila sampai di selekoh.
“Dipercayai motosikal salah seorang mangsa datang dari arah Ulu Dong, manakala dua lagi motosikal dari arah bertentangan,” katanya.
Seorang mangsa berusia 18 tahun berasal dari Kampung Chinchin, seorang lagi yang juga berusia 18 tahun berasal dari Kampung Bedu, Pamah Kulat manakala mangsa yang berusia 15 tahun berasal dari Perumahan Lechar.
Wan Mohd Samsudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. sinarharian
No comments:
Post a Comment