Sunday, 15 June 2014

Pencuri amatur gagal rompak mesin ATM

Pencuri amatur gagal rompak mesin ATM

Azham Othman (kiri ) memeriksa mesin pengeluaran wang automatik yang dibakar sekumpulan pencuri amatur di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 24 Jan. - Sekumpulan pencuri amatur berputih mata selepas gagal melarikan wang tunai berjumlah RM368,660 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meskipun berjaya membakar lapisan pertama mesin berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi di hadapan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri di sini, kumpulan suspek bertindak menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) dan mencabut wayar penggera sebelum membakar mesin ATM tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek membakar ATM berkenaan dengan menggunakan petrol dan cuba menebuk lapisan kedua ATM dengan gas Oxy-acetylene tetapi gagal.

Katanya, berdasarkan modus operandi digunakan, kejadian itu bukan dilakukan oleh pencuri profesional.
"Polis mengesan lapan kesan cap jari pada mesin tersebut yang dipercayai milik suspek," katanya selepas melakukan tinjauan ke lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata Azham, kejadian tersebut diketahui melalui isyarat diterima daripada ibu pejabat syarikat perkhidmatan keselamatan ATM berkenaan di Kota Bharu pukul 6.40 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.

Terdahulu di lokasi berlainan, Azham berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu akan mengadakan Op Selamat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina selama dua minggu bermula 25 Januari ini.
Kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti 10 kawasan 'panas' yang sering berlaku kejadian jenayah dan rondaan akan dibuat lebih kerap di lokasi terbabit.
"Bagi pemilik rumah yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti, boleh melaporkan ketiadaan mereka di balai-balai polis berhampiran.

"Kita juga akan bekerjasama dengan sukarelawan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menjaga ketenteraman awam," katanya. utusan

No comments:

Post a Comment